JAKARTA, 20 Feb (Bernama) -- Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan
umum Karang Tembok, Surabaya pada Selasa malam, ketika anggota keluarga dan
ratusan penduduk kampung mengebumikan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia
tiga setengah tahun, yang dibunuh dan disimen menjadi patung oleh seorang
jirannya.
Laporan media tempatan menyebut pembunuhan kejam Fahri Khusaeni Romadhon itu
terbongkar tengah hari semalam apabila penduduk yang mencari kanak-kanak itu
menjumpainya di belakang rumah seorang jiran di kawasan Jalan Endrosono,
Surabaya dalam keadaan sudah menjadi patung simen, setelah mencari sumber bau
busuk dari rumah itu.
Tanpa memecahkan simen itu, mereka sudah mengenali bahawa ia adalah jasad
Fahri kerana rupa bentuk ''patung'' itu mirip ukuran badannya dan penemuan itu
terus dilaporkan kepada polis.
Fahri dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu.
Polis sudah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai terlibat
dalam kes itu dan sedang menyiasat motif pembunuhan.
-- LAGI
KANAK-KANAK-SIMEN 2 (AKHIR) JAKARTA
Suspek yang dilaporkan mempunyai latar belakang gangguan jiwa, ditahan
petang semalam, tidak lama selepas penemuan jasad Fahri.
Seorang jurucakap polis Daerah Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya berkata
suspek dipercayai membunuh dengan cara menghempasnya beberapa kali ke lantai.
Berdasarkan pengakuan suspek, dia nekad membunuh Fahri kerana berasa sakit
hati dengan bapa kanak-kanak itu dan dengan alasan takut dibunuh, suspek
membunuh anak jirannya itu terlebih dahulu.
Polis sedang memeriksa kesihatan mental suspek selain menyiasat sama ada
orang lain yang tinggal bersama suspek di dalam rumah berkenaan, yang kini sudah
dikosongkan, turut terlibat dalam kejadian itu.
hilangnya nilai kemanusiaan
No comments:
Post a Comment